Panduan Untuk Bakal Pelabur di Pasaran Saham 1.
Anda merancang untuk melabur di pasaran saham tetapi tidak tahu caranya? Di sini diberikan panduan ringkas. Langkah #1 Lakukan “ujian kewangan kendiri” Analisis objektif kewangan, kekangan dan ketahanan terhadap risiko. Tanya diri sendiri sama ada anda sudah bersedia di segi kewangan untuk melabur di pasaran saham? Jangan sekali-kali meminjam untuk melabur di pasaran saham. Dalam pasaran yang sentiasa turun naik, anda boleh kehilangan wang yang dipinjam dan masih terpaksa membayar pinjaman tersebut. Langkah #2 Berurusan hanya dengan pihak berlesen Syarikat broker saham anda dan wakil peniaganya mesti dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC). Untuk semakan segera, layari tapak web SC atau hubungi 03-6204 8000 (Jabatan Pelesenan). Langkah #3 Buka akaun dagangan CDS Buka akaun CDS (Sistem Depositori Pusat) dan akaun dagangan di syarikat broker saham anda. Akaun ini adalah untuk kegunaan eksklusif anda. Jangan benarkan sesiapa, termasuk wakil peniaga anda menggunakannya untuk urus niaga mereka sendiri. bersambung... ------------------------------------------------------------------- Part 1: Harga Wajar IPO Bagaimana anda menilai harga kepada cermin mata berjenama yang baru dikeluarkan? Kualiti produk, kredibiliti pembuatnya atau penggunaan teknologi baru mungkin merupakan sebahagian daripada penjelasan biasa yang diberikan oleh pakar optik. Hal ini tiada bezanya dengan membuat pelaburan saham melalui tawaran awam awal (IPO) kerana sesetengah saham mungkin mempunyai harga yang lebih mahal daripada yang lain. Biasanya, syarikat yang mempunyai rekod prestasi yang baik dari segi kewangan dan operasi – umpamanya mempunyai asas pelanggan yang kukuh, kumpulan pengurusan yang kukuh, aset berkualiti, serta terbabit dalam perniagaan yang betul – berupaya meletakkan harga yang lebih tinggi bagi saham IPOnya. Bagaimanapun, mereka mestilah boleh menjustifikasikan harga saham premium IPO tersebut. Bagaimana Harga IPO ditentukan? Diagram berikut menunjukkan aliran proses untuk menentukan harga IPO: Bank saudagar menasihati syarikat yang akan disenaraikan mengenai penetapan harga IPO. > Setelah cadangan harga IPO ditetapkan, bank saudagar berkenaan menyerahkan cadangan IPO itu kepada SC untuk kelulusan. > SC akan mengkaji cadangan IPO itu sebelum memberi kelulusan bagi memastikan prosedur yang betul telah dipatuhi, tetapi SC tidak akan mencampuri atau terlibat dalam proses menentukan harga IPO. Sebagai pelabur yang bijak dan berhati-hati, anda perlu menanyakan soalan ini bagi memastikan bahawa harga yang anda bayar itu paling wajar. Salah satu caranya ialah membandingkan prestasi kewangan syarikat dengan menganalisis penyata kewangannya dalam prospektus atau laporan tahunan. Pada dasarnya, analisis itu memerlukan pelabur membandingkan hubungan antara butiran dalam penyata kewangan tersebut. Contohnya, pelabur perlu mengetahui sama ada syarikat itu mempunyai lebih banyak aset daripada liabiliti atau sama ada ia mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk memenuhi tanggungjawab dalam urusan perniagaannya. Untuk membolehkan ini dilakukan, pelabur mesti meluangkan masa bagi mempelajari asas analisis kewangan. Selain itu, pelabur juga perlu membuat perbandingan dengan syarikat lain yang menjalankan perniagaan yang sama. Misalannya, jika syarikat yang pelabur berminat untuk membuat pelaburan itu berada dalam sektor perladangan, pelabur per;u membandingkannya dengan sebuah syarikat perladangan yang lain. Perbandingan itu perlu merangkumi harga IPO, prestasi kewangan dan latar belakang operasi. Pelabur juga perlu meneliti maklumat yang tiada berkaitan kewangan atau maklumat kualitatif syarikat tersebut, umpamanya kumpulan pengurusannya, ahli lembaga pengarah dan pengiktirafan jenamanya. Selain itu, analisis dan laporan akhbar boleh juga membantu pelabur menentukan kewajaran harga IPO syarikat tersebut. Pada asasnya, pelabur perlu mengambil kira bukan sahaja maklumat kewangan (kuantitatif) , tetapi juga maklumat bukan kewangan (kualitatif) bagi menentukan kewajaran harga sesuatu IPO dan mengelak daripada membeli saham terbitan IPO yang terlebih harga. Lebih penting lagi, pelabur patut mengelak daripada membuat keputusan berdasarkan sumber-sumber yang tiada kredibiliti seperti khabar angin. Panduan untuk Pelabur 1. Baca prospektus Perkara yang perlu diperhatikan dalam prospektus ialah: latar belakang syarikat ,bentuk perniagaan syarikat ,cadangan penggunaan prosid yang diperoleh daripada IPO dan pelan perniagaan masa depan syarikat peluang perniagaan dan ancaman, serta potensi risiko dan pulangan syarikat. 2. Bandingkan harga Sentiasa bandingkan harga saham IPO syarikat itu dengan syarikat lain dalam industri yang sama bagi memastikan saham IPO itu tidak terlebih nilai atau terlebih harga. 3. Dapatkan nasihat Sentiasa dapatkan nasihat daripada penasihat pelaburan jika anda menghadapi kesukaran untuk menentukan kewajaran harga atau apabila anda memerlukan bantuan bagi membuat keputusan pelaburan
Last edited by sfc.securities; 02-22-2008 at 09:46 PM.
Berapa Banyak Risiko Yang Boleh Diambil?
Ada satu prinsip asas yang perlu anda ingat sebelum melaksanakan pelan kewangan. Prinsip itu ialah: lebih tinggi pulangan daripada sesuatu pelaburan, lebih tinggi risikonya. Ini merupakan prinsip penting pelaburan, keseimbangan antara risiko dan ganjaran berkait langsung dengan setiap keputusan pelaburan yang dibuat. Apabila membeli atau menjual sesuatu produk pelaburan, anda sentiasa menghadapi risiko kerugian. Cuma, tahap risiko itu berbeza-beza antara satu produk dengan produk yang lain. Amnya, produk yang menjanjikan pulangan paling banyak (seperti niaga hadapan, opsyen dan saham yang harga meningkat dengan cepat) merupakan pelaburan yang paling berisiko - jadi, makin banyak risiko yang anda ambil dengan pelaburan-pelaburan jenis ini, semakin besar kemungkinannya ganjaran yang bakal diterima juga besar. Tetapi, kemungkinan besar pula anda boleh hilang wang pelaburan anda. Begitulah sebaliknya dengan produk kewangan yang dianggap "selamat" seperti simpanan di bank dan bon yang memberi pulangan kecil dan mantap. Kemungkinan wang anda hangus kecil sekali kerana pelaburan seperti ini mempunyai risiko rendah. Tetapi pulangannya juga rendah. Inilah yang dimaksudkan dengan perseimbangan antara risiko dan ganjaran. Sebenarnya risiko sesuatu pelaburan itu bergantung kepada diri kita sendiri. Dalam lain perkatan berapa banyak risiko yang anda sanggup terima. Risiko bermakna, mengambil sesuatu langkah yang tidak pasti iaitu tiada jaminan hasil langkah yang diambil itu akan memihak kepada anda. Ketahanan menghadapi risiko diukur melalui penerimaan anda terhadap hasil daripada sesuatu pelaburan. Sama ada anda boleh mengambil risiko dan sampai ke tahap mana ketahanan anda, bergantung kepada kedudukan kewangan anda (ini merangkumi nilai bersih, pendapatan dan jangkaan hasil pendapatan pada masa hadapan), personaliti dan matlamat kewangan anda. Hampir semua buku yang mengajar kita mengenai pelaburan pasti memasukkan kuiz profil risiko pelabur untuk membantu kita memastikan daya ketahanan terhadap risiko. Jawab ujian ini dan ketahuilah profil pelaburan anda: sama ada konservatif, sederhana atau agresif. Pelabur yang agresif akan mengambil risiko besar untuk mendapat keuntungan besar. Pelabur konservatif akan mencari pelaburan selamat dan berpuas hati dengan pelaburan yang membawa pendapatan mantap. Pelabur sederhana pula berada di tengah-tengah: dia mengambil sikap berhati-hati tetapi bersedia mengambil sedikit risiko untuk mendapat pulangan lebih baik. Nak tahu ketahanan anda menghadapi risiko, tanya diri sendiri fasal tidur. Bolehkah anda melaburkan semua wang dalam sesuatu aset dan tetap dapat tidur nyenyak? Jika tak boleh, bermakna pelaburan bukan untuk anda. Memahami Risiko Pelaburan Apakah risiko yang dihadapi oleh pelabur seperti anda? Salah satu bentuk risiko dinamakan 'risiko asas' yang meliputi semua jenis pelaburan. Risiko jenis ini wujud dalam mana-mana perniagaan dan dipengaruhi oleh tahap kecekapan pengurusan syarikat dan kedudukan syarikat dalam arus persaingan pasaran. Cara terbaik untuk meminimumkan kesan risiko ini ke atas portfolio anda ialah dengan mempelbagaikan pelaburan; iaitu melabur dalam lain-lain syarikat, dalam industri yang berbeza-beza, dan dalam lingkungan kelas aset yang sama. Yang kedua ialah risiko pasaran, juga dikenali sebagai risiko teknikal. Risiko ini pula berkaitan dengan bagaimana keadaan pasaran di mana anda mempunyai pelaburan. Ini membabitkan faktor-faktor ekonomi seperti kitaran perniagaan, inflasi dan pengangguran. Umpamanya, dalam sesuatu tempoh tertentu ekonomi, pasaran hartanah mungkin mempunyai prestasi lebih baik berbanding pasaran saham. Untuk menguruskan risiko pasaran, bijak jika mempunyai portfolio yang seimbang - iaitu mempelbagaikan pelaburan di kalangan sesuatu kumpulan aset dan mengawasi keadaan ekonomi negara untuk mengenal pasti syarikat mana yang berpotensi untuk berjaya dan yang mana pula yang mungkin merudum. Risiko kadar faedah juga risiko yang perlu dihadapi. Biasanya ramai mengandaikan bahawa risiko kadar faedah hanya mempengaruhi pasaran bon. Ini tidak benar kerana kadar faedah juga turut memberi kesan kepada pasaran saham. Memang benar nilai saham dipengaruhi oleh lain-lainfaktor langsung. Yang perlu diingatkesan gerakankadar faedah mempunyai kesan terbalik bukan macam bon. Risiko inflasi pula ialah risiko pelaburan anda dilangkau oleh inflasi yang bergerak pantas dan menghakis nilai pelaburan tersebut. Ini ialah risiko kuasa belian. Jadi, anda harus mencari saham, hartanah dan pelaburan yang akan mengatasi kadar inflasi dalam jangka masa tertentu. Jangan lupa juga untuk memasukkan faktor inflasi ketika mengira andaian pulangan daripada pelaburan anda. Ini cara yang betul untuk mendapatkan gambaran sebenar keuntungan yang diperoleh. Akhirnya, risiko kecairan. Ini merupakan jawapan kepada soalan, berapa cepat saya boleh menukar aset pelaburan kepada nilai penuh wang tunai? Simpanan di bank adalah antara risiko kecairan paling rendah manakala pelaburan hartanah pula mempunyai risiko kecairan paling tinggi. Saham dan unit amanah juga mempunyai kecairan yang baik kerana, selepas menjualnya, anda hanya perlu menunggu beberapa hari (bekerja) sahaja untuk mendapat wang anda. Anda Jenis Pelabur Yang Mana? Di sini ada beberapa contoh profil risiko pelabur dan pelaburan tipikal yang dipadankan dengan personaliti dan objektif mereka. Profil Pelabur Pelaburan Tipikal Terlalu konservatif Sekuriti kerajaan, sekuriti yang disokong oleh bank Sekuriti pemegang amanah Konservatif Julat lebih luas bagi pelaburan yang memberi pulangan sahaja, debentur, bon korporat, produk insurans tertentu Julat pertengahan Harta (umpamanya rumah) yang belum siap, pertumbuhan saham, unit amanah yang berkaitan dengan pelaburan (dengan penekanan kepada pertumbuhan), pelaburan antarabangsa Usahawan Harta yang sudah siap, pertumbuhan saham, unit amanah yang berkaitan dengan pelaburan (Dengan penekanan kepada pertumbuhan), pelaburan antarabangsa Spekulasi Dagangan opsyen, niaga hadapan, barangan eksotik dan himpunan barang-barang berharga
Satu cara yang selalu disebut ketika bercakap mengenai bagaimana mengelakkan daripada menghadapi banyak risiko dalam pelaburan ialah pempelbagaian.
Pempelbagaian bermakna "mengembangkan pelaburan kepada beberapa cabang", iaitu tidak meletakkan wang dalam satu pelaburan sahaja, sebaliknya menyertai beberapa pelaburan. Samalah seperti tidak meletakkan semua telur dalam satu bakul, kerana jika bakul terhempas jatuh, kemungkinan semua telur akan pecah. Begitu juga, jika anda melaburkan semua wang dalam saham satu syarikat, jika nilai saham itu menjunam jatuh, anda mungkin kehilangan wang yang dilaburkan. Sesuatu portfolio pelaburan yang dipelbagaikan mempunyai beberapa cabang pelaburan. Setiap cabang boleh pula disamakan dengan satu kumpulan aset (seperti saham atau bon atau niaga hadapan). Langkah selanjutnya ialah mempelbagaikan pelaburan dalam sesuatu kumpulan aset tersebut. Misalnya jika membeli saham belilah daripada berbagai-bagai sektor; atau jika membeli unit amanah, belilah lebih daripada satu jenis (umpamanya dana pendapatan, dana pertumbuhan, dana bon dan lain-lain). Strategi yang baik ialah menggabungkan pelaburan yang berisiko tinggi dengan yang berisiko rendah dan meletakkan pelaburan itu dalam setiap cabang pelaburan dan kumpulan aset. Mengapa buat demikian? Supaya anda mempunyai peluang lebih baik untuk berjaya dalam sesuatu kelas aset dan di kalangan kumpulan sesuatu aset. Bayangkan bagaimana jika semua wang simpanan anda terikat dalam pasaran saham sedangkan anda dalam keadaan terdesak dan memerlukan wang tunai dengan cepat. Sudah tentu anda menghadapi masalah mudahtunai sekiranya pada waktu itu pasaran saham pula terus menjunam. Keadaan ini terjadi akibat tidak mempelbagaikan pelaburan dalam sesuatu kumpulan aset. Atau anda mungkin meletakkan semua wang dalam saham hartanah, kemudian mendapati perniagaan hartanah menjunam jatuh sedangkan saham sektor lain pula melonjak naik. Ini ialah contoh tidak mempelbagaikan pelaburan dalam sesuatu kelas aset. Tetapi, melalui pempelbagaian, jika satu daripada aset anda menjunam teruk, anda mempunyai banyak pilihan lain sebagai sandaran. Jika anda membuat mempelbagaikan pelaburan secara bijak, kerugian yang ditanggung dalam sesuatu pelaburan boleh ditampung oleh keuntungan daripada pelaburan lain yang berprestasi baik. Risiko pelaburan anda juga dapat dikurangkan manakala kadar purata pulangan dapat dimaksimumkan. Bagaimanapun, elakkan daripada mempelbagaikan pelaburan secara keterlaluan. Memang betul tidak wajar jika anda melaburkan semua wang dalam satu tempat, tetapi melaburkannya dalam terlalu banyak instrumen kewangan juga tidak bijak kerana sukar untuk mengawasi semua pelaburan serentak. Lagipun, kalau mempelbagaikan pelaburan secara berlebihan, pelaburan anda akan membuat imbangan balas antara satu sama lain (mungkin pelaburan yang mengalami kerugian lebih banyak berbanding pelaburan yang untung dan keuntungan itu terpaksa digunakan untuk menutup kerugian) hingga menyebabkan akhirnya anda tidak mendapat apa-apa daripada pulangan pelaburan anda.
...bersambung dari post 1...
Langkah #4 Ketahui produk yang diurusniagakan di bursa Buat penyelidikan. Kenali produk-produk yang diurusniagakan di Bursa Malaysia. Dapatkan maklumat yang secukupnya mengenai produk-produk tersebut daripada wakil peniaga atau jika tidak, layari tapak web Bursa Malaysia Langkah #5 Pelajari prosedur urus niaga Gagal memahami sepenuhnya mengenai prosedur urus niaga boleh mengakibatkan kerugian yang disebabkan kesilapan teknik. Minta wakil peniaga anda untuk menjelaskannya kepada anda. Langkah #6 Ketahui tentang syarikat Sebelum melabur, buat penyelidikan (ya, sekali lagi!) terhadap syarikat yang anda bercadang untuk membeli sahamnya. Kenali syarikat itu dengan membaca prospektus, laporan tahunan dan artikel dalam akhbar. Keputusan pelaburan anda mestilah berdasarkan maklumat. Elakkan khabar angin dan ramalan. Langkah #7 (untuk investor bukan online) Berikan arahan yang jelas Arahan anda kepada wakil peniaga mestilah jelas. “Fifteen” lot dan Fifty” lot bunyinya mungkin sama di telefon. Berhati-hati kerana di pasaran saham, komunikasi yang tidak betul boleh menyebabkan anda mengalami kerugian yang banyak.
Biasanya dalam interaksi antara ejen unit amanah dan pelabur, hanya ejen yang banyak bercakap manakala pelabur lebih banyak mendengar. Tidak banyak soalan yang relevan ditanyakan oleh pelabur kecuali soalan lazim – “berapa banyak dividen akan diberikan oleh unit amanah ini?” atau “apakah jumlah minimum untuk memulakan pelaburan?”. Tetapi, untuk memperoleh manfaat sepenuhnya daripada pelaburan unit amanah, anda mestilah bersedia untuk bertanya banyak soalan. Jawapan yang anda peroleh daripada ejen ini boleh membantu anda menentukan sama ada melabur dalam unit amanah yang ditawarkan itu bersesuaian dengan matlamat dan objektif pelaburan anda. Ini juga dapat mengelakkan anda daripada melabur dalam produk unit amanah yang tidak bersesuaian tetapi dipromosikan berlebih-lebihan oleh ejen kerana dia mendapat komisen yang tinggi daripada penjualannya.
Disenaraikan di sini beberapa soalan cadangan (senarai ini tidak terbatas, ada banyak lagi soalan lain yang boleh ditanyakan) yang anda patut tanyakan kepada ejen anda. 1. Adakah dana unit amanah ini berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti? Panduan: Semua produk unit amanah mestilah didaftarkan dengan SC. Untuk memastikan produk pelaburan itu didaftarkan dengan SC, hubungi 03-6204 8000 dan minta untuk disambungkan kepada Jabatan Tabung Amanah dan Pengurusan Pelaburan. 2. Berapa lama syarikat unit amanah itu telah beroperasi? Apakah rekod atau prestasi syarikat itu dalam memberikan pulangan yang dijanjikan? Panduan: Penting bagi pelabur untuk memeriksa latar belakang sesuatu syarikat unit amanah, termasuk syarikat yang akan menguruskan dana tersebut (jika dana itu diuruskan oleh pengurus dana luar). Cari maklumat mengenai rekod prestasi dan pengalaman mereka. Anda mesti berusaha untuk mengenali mereka yang diamanahkan untuk mengendalikan wang hasil titik peluh anda. 3. Adakah dana itu bersesuaian dengan matlamat pelaburan dan profil risiko saya? Panduan: Sebelum anda bertanyakan soalan ini, anda mesti mengetahui dan yakin mengenai matlamat dan objektif pelaburan anda (sila baca artikel mengenai matlamat dan objektif pelaburan di tapak web Pelabur Malaysia) dan berapa banyak risiko pelaburan yang anda mampu tanggung (risiko pelaburan pada umumnya ialah keadaan yang mungkin berlaku dan menyebabkan anda menanggung kerugian). Sekarang ini, ada banyak jenis dana di pasaran, setiap satu dengan manfaat dan risiko tersendiri (lebih tinggi pulangan yang dijanjikan, lebih tinggi risiko yang anda terpaksa ambil). Oleh itu, penting bagi anda memahami dana yang ditawarkan dan memilih dana yang benar-benar bersesuaian dengan matlamat pelaburan dan kesanggupan anda menghadapi risiko. Misalnya, jika anda mahu pendapat yang konsisten, anda perlu melabur dalam dana yang menyediakan pulangan konsisten. Anda tidak seharusnya membiarkan diri dipaksa oleh mana-mana ejen untuk melabur dalam dana yang tidak bersesuaian dengan anda. 4. Apa yang berlaku kepada wang yang saya laburkan dalam dana berkenaan? Di manakah wang itu akan dilaburkan? Panduan: Setiap dana unit amanah mempunyai strategi pelaburannya sendiri. Contohnya, bagi dana ekuiti, pada umumnya kebanyakan daripada aset dana itu dilaburkan dalam pasaran saham. Sebaliknya, dana bon akan melaburkan kebanyakan dananya dalam produk bon. Amat penting bagi pelabur mengetahui dalam produk pelaburan yang manakah dana itu akan melabur, kerana ini mempunyai implikasi terus ke atas toleransi risiko pelabur. Jika dana itu melabur dalam produk pelaburan berisiko tinggi, dana unit amanah itu sendiri akan menjadi pelaburan berisiko tinggi. (Sila lihat juga panduan dalam Soalan 3!). 5. Bagaimana hendak mengetahui bahawa dana yang saya laburkan itu berkeadaan baik? Bagaimana hendak membandingkannya dengan dana yang lain? Panduan: Setiap dana mempunyai ukur rujuknya sendiri (sesuatu yang anda boleh jadikan ukuran prestasinya), yang dinyatakan dalam prospektus. Anda boleh membandingkan kadar pulangan dana anda dengan ukur rujuk tersebut. Ukur rujuk yang biasa bagi dana ialah Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) manakala bagi dana bon, biasanya ialah pada kadar purata 12-bulan deposit tetap bank-bank. Selain itu, anda boleh membandingkan dana anda dengan dana lain yang mempunyai kriteria yang sama. Contohnya, jika anda melabur dalam dana bon, bandingkan prestasinya dengan dana bon yang lain. 6. Bagaimana saya boleh membuat keuntungan daripada dana ini? (Untung modal? Dividen?) Panduan: Jika anda melabur dalam unit amanah, pulangan anda mungkin dalam bentuk keuntungan modal (jika gerakan pasaran memuaskan) atau dividen (jika syarikat pengurusan mengumumkan ada bayaran dividen). 7. Adakah saya perlu membayar sebarang bayaran atau caj? Panduan: Setiap pelaburan mempunyai kos dan melabur dalam dana unit amanah tiada bezanya. Syarikat pengurusan unit amanah mungkin mengenakan bayaran, seperti caj jualan, bayaran pengurusan, bayaran pemegang amanah dan caj-caj lain yang berkaitan. Ejen anda mesti menjelaskan semua ini kepada anda. 8. Jika saya mengubah fikiran selepas melabur dalam sesuatu dana, bolehkah saya menjualkannya semula kepada syarikat itu dan mendapat bayaran balik sepenuhnya ? Panduan: Pelabur diberikan “tempoh bertenang” yang merupakan masa yang diberikan kepada pelabur untuk memikirkan semula sama ada mereka mahu meneruskan pelaburan dalam dana unit amanah itu atau tidak. Tertakluk kepada syarat, pelabur unit amanah berhak mendapat bayaran balik sepenuhnya jika dia memutuskan untuk tidak meneruskan pelaburan dalam dana tersebut dalam masa “tempoh bertenang”. “Tempoh bertenang” adalah hak anda ! Pautan membantu : Tempoh bertenang 9. Jika saya mahukan wang saya semula dengan segera, berapa mudah boleh saya menjualkan dana tersebut? Berapa lama saya mesti menunggu sebelum saya boleh mendapat wang saya semula? Panduan : Penting bagi anda mengetahui bila anda akan mendapat semula wang anda supaya anda lebih bersedia sekiranya anda memerlukan wang itu segera. Tanyakan ejen anda. 10. Adakah saya akan mendapat apa-apa kenyataan berkaitan dengan status pelaburan saya daripada syarikat pengurusan? Panduan: Proses pemantauan anda akan menjadi lebih mudah jika anda menerima penyata daripada syarikat pengurusan berkaitan status pelaburan anda. Dapatkan penjelasan berapa kerap anda akan mendapat penyata tersebut. Anda mesti memantau pelaburan anda. 11. Di mana saya boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai dana tersebut? Panduan: Kebanyakan maklumat mengenai sesuatu dana unit amanah terdapat dalam prospektus dan laporan tahunannya. Mintalah prospektus itu daripada ejen anda dan bacalah sebelum melabur.
semasa menjalankan kelas bersemuka bursa malaysia semalam, ramai pelajar yang tersilap tangapan mengenai saham, kerana dah terlalu biasa bermain forex cara "gamble" (dalam forex anda sebenarnya tidak membeli apa apa barang pun sebaliknya anda sedang menempah suatu "kontrak" yang akan dilaksanakan masa hadapan)
Andaian salah paling umum mengenai pasaran saham yang tidak usah anda hiraukan. Pasaran saham ialah kasino! Tidak, pasaran saham BUKAN kasino. Melabur dalam saham pada dasarnya berbeza daripada berjudi. Membeli saham atau stok mewakili pemilikan dalam sesuatu syarikat dan memberikan hak kepada pembeli menuntut hak terhadap aset syarikat dan berkongsi keuntungan syarikat. Selalunya, pelabur berfikir bahawa membeli saham merupakan cara untuk mencuba nasib dan mendapat keuntungan dengan cepat. Tanggapan ini salah. Hanya untuk orang kaya Tanggapan ini tidak tepat kerana sesiapa sahaja yang mempunyai pengetahuan pelaburan yang baik dan sedikit wang simpanan boleh melabur dalam pasaran saham. Pelabur berjaya bukan mereka yang kaya tetapi mereka yang menggunakan maklumat dengan berkesan dan mendapatkan bantuan daripada golongan profesional berlesen untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat. Masa paling baik untuk melabur ialah ketika pasaran “bul” Ketika pasaran bul atau ketika pasaran sedang naik dan aktif, bukanlah satu-satunya masa paling baik untuk melabur. Berbekalkan maklumat yang baik dan pemilihan saham yang teliti, pelabur boleh membuat keputusan pelaburan yang baik pada bila-bila masa sahaja, sama ada ketika pasaran bul atau bear (apabila pasaran jatuh dan tidak aktif). Mustahil melabur tanpa “maklumat panas” Walaupun tanpa “maklumat panas” pelabur masih boleh membuat keputusan pelaburan yang baik jika mereka melakukan penyelidikan sendiri. Pelabur mesti memahami dengan jelas mengenai pelaburan mereka dan tidak bergantung hanya kepada maklumat panas. Sekiranya pelabur tidak mempunyai pengetahuan atau mempunyai hanya sedikit pengetahuan mengenai pelaburan, lebih baik jika mendapatkan khidmat nasihat penasihat pelabur. Pastikan dia mempunyai lesen yang sempurna. Beli saham harga murah ketika pasaran bulis Membeli saham harga murah ketika pasaran bulis dengan harapan harganya akan naik ketika pasaran sedang bulis bukan merupakan strategi pelaburan yang berkesan. Strategi lebih baik ialah membeli saham syarikat yang mempunyai asas yang baik pada harga berpatutan. Ini kerana harga merupakan hanya satu bahagian daripada pelaburan saham. Jangan keliru dengan konsep pelaburan nilai. Ini bukan bermakna membeli saham apa sahaja syarikat yang harga pasarannya sedang menjunam, seperti kata pepatah lama Wall Street,“Siapa yang cuba menangkap pisau yang jatuh, pasti luka”. Pelaburan nilai ialah membeli saham syarikat berkualiti tinggi yang dinilai rendah oleh pasaran.
ada seorang senior member yang berpengaruh disini menyoal saya , apa rasionalnya S&R?
saya kata bukan S&R itu yang sepatutnya tuan aplikasikan, tetapi konsep disebalik S&R itu yang patut tuan fahamkan, tidakkah anda terfikir kenapa wujudnya subject grid mechanism dalam pengajian economy? tiap tiap satu range price itu bergerak dalam satu grid point, price bergerak dari 'start-point' ke 'end-point' dalam satu grid (p/s:ini takde kaitan dengan grid system dari forum lain) S&R yang anda faham(hi-lo ,etc) itu adalah pergerakan pair dari satu 'start point' ke 'end point' P/S: Mungkin ramai yang terkeliru dengan bidalan KISS (S dibelakang tu bukan maksudnya 'Stupid', sila jangan anggapkan diri anda 'stupid', setiap daripada anda adalah bijaksana!), sebenarnya KISS bermaksud.. Keep It Simple & Smart
Last edited by sfc.securities; 02-26-2008 at 08:34 PM. Reason: terima kasih semua atas sokongan anda..
...bersambung dari post 5...
Langkah #8 Semak nota kontrak anda Setelah anda berurus niaga, semak dengan teliti setiap nota kontrak sebaik-baik sahaja anda menerimanya. Jika terdapat sebarang kesilapan, hubungi syarikat broker saham anda dengan segera untuk membuat pembetulan. Langkah #9 Pantau pelaburan anda Jangan biarkan pelaburan anda tanpa dipantau. Perkara yang anda tidak ambil peduli itu mungkin nanti boleh menyusahkan anda. Langkah #10 Penuhi tanggungjawab dan laksanakan hak anda! Sebagai pelabur, anda mempunyai tanggungjawab untuk dipenuhi, dan hak untuk dilaksanakan. Jangan mengabaikannya
«
Previous Thread
|
Next Thread
»
|
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||