Panduan Untuk Bakal Pelabur di Pasaran Saham 1.
Anda merancang untuk melabur di pasaran saham tetapi tidak tahu caranya? Di sini diberikan panduan ringkas.
Langkah #1
Lakukan “ujian kewangan kendiri”
Analisis objektif kewangan, kekangan dan ketahanan terhadap risiko. Tanya diri sendiri sama ada anda sudah bersedia di segi kewangan untuk melabur di pasaran saham? Jangan sekali-kali meminjam untuk melabur di pasaran saham. Dalam pasaran yang sentiasa turun naik, anda boleh kehilangan wang yang dipinjam dan masih terpaksa membayar pinjaman tersebut.
Langkah #2
Berurusan hanya dengan pihak berlesen
Syarikat broker saham anda dan wakil peniaganya mesti dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC). Untuk semakan segera, layari tapak web SC atau hubungi 03-6204 8000 (Jabatan Pelesenan).
Langkah #3
Buka akaun dagangan CDS
Buka akaun CDS (Sistem Depositori Pusat) dan akaun dagangan di syarikat broker saham anda. Akaun ini adalah untuk kegunaan eksklusif anda. Jangan benarkan sesiapa, termasuk wakil peniaga anda menggunakannya untuk urus niaga mereka sendiri.
bersambung...
-------------------------------------------------------------------
Part 1: Harga Wajar IPO
Bagaimana anda menilai harga kepada cermin mata berjenama yang baru dikeluarkan? Kualiti produk, kredibiliti pembuatnya atau penggunaan teknologi baru mungkin merupakan sebahagian daripada penjelasan biasa yang diberikan oleh pakar optik.
Hal ini tiada bezanya dengan membuat pelaburan saham melalui tawaran awam awal (IPO) kerana sesetengah saham mungkin mempunyai harga yang lebih mahal daripada yang lain. Biasanya, syarikat yang mempunyai rekod prestasi yang baik dari segi kewangan dan operasi – umpamanya mempunyai asas pelanggan yang kukuh, kumpulan pengurusan yang kukuh, aset berkualiti, serta terbabit dalam perniagaan yang betul – berupaya meletakkan harga yang lebih tinggi bagi saham IPOnya. Bagaimanapun, mereka mestilah boleh menjustifikasikan harga saham premium IPO tersebut.
Bagaimana Harga IPO ditentukan?
Diagram berikut menunjukkan aliran proses untuk menentukan harga IPO:
Bank saudagar menasihati syarikat yang akan disenaraikan mengenai penetapan harga IPO. > Setelah cadangan harga IPO ditetapkan, bank saudagar berkenaan menyerahkan cadangan IPO itu kepada SC untuk kelulusan. > SC akan mengkaji cadangan IPO itu sebelum memberi kelulusan bagi memastikan prosedur yang betul telah dipatuhi, tetapi SC tidak akan mencampuri atau terlibat dalam proses menentukan harga IPO.
Sebagai pelabur yang bijak dan berhati-hati, anda perlu menanyakan soalan ini bagi memastikan bahawa harga yang anda bayar itu paling wajar.
Salah satu caranya ialah membandingkan prestasi kewangan syarikat dengan menganalisis penyata kewangannya dalam prospektus atau laporan tahunan. Pada dasarnya, analisis itu memerlukan pelabur membandingkan hubungan antara butiran dalam penyata kewangan tersebut. Contohnya, pelabur perlu mengetahui sama ada syarikat itu mempunyai lebih banyak aset daripada liabiliti atau sama ada ia mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk memenuhi tanggungjawab dalam urusan perniagaannya. Untuk membolehkan ini dilakukan, pelabur mesti meluangkan masa bagi mempelajari asas analisis kewangan.
Selain itu, pelabur juga perlu membuat perbandingan dengan syarikat lain yang menjalankan perniagaan yang sama. Misalannya, jika syarikat yang pelabur berminat untuk membuat pelaburan itu berada dalam sektor perladangan, pelabur per;u membandingkannya dengan sebuah syarikat perladangan yang lain. Perbandingan itu perlu merangkumi harga IPO, prestasi kewangan dan latar belakang operasi.
Pelabur juga perlu meneliti maklumat yang tiada berkaitan kewangan atau maklumat kualitatif syarikat tersebut, umpamanya kumpulan pengurusannya, ahli lembaga pengarah dan pengiktirafan jenamanya. Selain itu, analisis dan laporan akhbar boleh juga membantu pelabur menentukan kewajaran harga IPO syarikat tersebut.
Pada asasnya, pelabur perlu mengambil kira bukan sahaja maklumat kewangan (kuantitatif) , tetapi juga maklumat bukan kewangan (kualitatif) bagi menentukan kewajaran harga sesuatu IPO dan mengelak daripada membeli saham terbitan IPO yang terlebih harga. Lebih penting lagi, pelabur patut mengelak daripada membuat keputusan berdasarkan sumber-sumber yang tiada kredibiliti seperti khabar angin.
Panduan untuk Pelabur
1. Baca prospektus
Perkara yang perlu diperhatikan dalam prospektus ialah:
latar belakang syarikat ,bentuk perniagaan syarikat ,cadangan penggunaan prosid yang diperoleh daripada IPO dan pelan perniagaan masa depan syarikat
peluang perniagaan dan ancaman, serta potensi risiko dan pulangan syarikat.
2. Bandingkan harga
Sentiasa bandingkan harga saham IPO syarikat itu dengan syarikat lain dalam industri yang sama bagi memastikan saham IPO itu tidak terlebih nilai atau terlebih harga.
3. Dapatkan nasihat
Sentiasa dapatkan nasihat daripada penasihat pelaburan jika anda menghadapi kesukaran untuk menentukan kewajaran harga atau apabila anda memerlukan bantuan bagi membuat keputusan pelaburan